Friday, October 30, 2009

Antara Pembinaan Ka'abah dan Pembinaan Institusi Kekeluargaan

Bismillah...

Assalamua'alaikum wbt..

Alhamdulillah syukur kerana masih diberi kehidupan dan ruang masa oleh Allah s.w.t untuk terus berkongsi sedikit input dari kuliah tafsir 2 minggu lepas. Walaupun agak ringkas dan mungkin tidak begitu terperinci, namun diharap dapat memberi sedikit ilmu sebagai panduan.

Apa yang pasti, terasa begitu berkatnya pengajian ilmu ini....mana tidaknya, apabila tibanya musim haji kali ini, secara tidak langsung sampainya kepada huraian ayat-ayat yang menjelaskan tentang pembinaan Kaabah dan perkerjaan haji dari Surah Al-Baqarah( bermula dari ayat 125 ). Maha Suci Allah...sesungguhnya itulah aturan Allah.....

Surah Al-Baqarah( Ayat 125 -126 ):
"Dan( ingatlah), ketika Kami menjadikan rumah( Ka'abah ) tempat berkumpul dan tempat aman bagi manusia. Dan jadikanlah maqam Ibrahim itu tempat solat. Dan telah Kami perintahkan kepada Ibrahim dan Ismail, "Bersihkanlah rumah-Ku untuk orang-orang yang tawaf, orang yang iktikaf, orang yang ruku' dan orang yang sujud!" ( ayat 125 ).

Dan( ingatlah ), ketika Ibrahim berdoa, "Ya Tuhanku, jadikanlah( negeri Mekah ) ini negeri yang aman dan berilah rezeki berupa buah-buahan kepada penduduknya, iaitu di antara mereka yang beriman kepada Allah dan hari kemudian," Dia( Allah ) berfirman, "Dan kepada orang yang kafir akan Aku beri kesenangan sementara, kemudian, akan Aku paksa dia ke dalam azab dan itulah seburuk-buruk tempat kembali."( ayat 126 )



Huraian dan intipati ayat 127-132 :

Ka'abah merupakan binaan pertama di muka bumi yang dibina di pusat bumi oleh Nabi Ibrahim dan anaknya Nabi Ismail atas arahan dan perintah Allah s.w.t. Atas dasar kepatuhan yang tinggi, Nabi Ibrahim tetap mendirikan Ka'abah di lokasi yang telah ditetapkan Allah tanpa banyak persoalan walaupun mengetahui bahawa tempat tersebut sememangnya begitu kering kontang. Mekah....itulah lokasinya, bumi yang penuh barakah....

Ka'abah telah dibina dengan asas binaan( foundation ) yang amat kukuh oleh Nabi Ibrahim dan Nabi Ismail sehingga dapat kekal sehingga ke hari ini. Sepanjang mendirikan Ka'abah ini, kedua-dua mereka tidak putus-putus berdoa agar segala amalan mereka diterima oleh Allah. Sambil membina, ucapan doa sentiasa dibibir..."Ya Tuhan kami! Terimalah dari kami( amalan kami ); sesungguhnya Engkaulah Yang Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui( Al-Baqarah: 127 ). Ini menunjukkan bahawa, di dalam apa jua usaha ke jalan kebaikan, garis panduannya adalah jangan putus pergantungan kita dengan Allah.


Tidak lupa, Nabi Allah Ibrahim juga mendoakan agar Mekah di mana merupakan lokasi Ka'abah didirikan menjadi tempat yang aman, penuh barakah dan direzekikan dengan pelbagai jenis buah-buahan. Walaupun ketika itu, ternyata lokasi tersebut adalah kering kontang dan tidak mungkin terdapatnya manusia dan tanam-tanaman, namun berkat doa Nabi Ibrahim, ia telah dimakbulkan Allah. Ini terbukti dengan kedatangan manusia saban hari ke bumi Mekah terutama untuk beribadat haji dan umrah serta pelbagai jenis buah-buahan yang dapat kita nikmati sehingga ke hari ini. Apa sahaja buah-buahan....kini, ada sahaja di Mekah!!!

Jesteru, asas pembinaan Ka'abah ini juga sepatutnya dijadikan sebagai sumber pengkajian ilmu bagi mereka yang terlibat di dalam bidang pembinaan seperti jurutera, arkitek dan sebagainya..bagi mengenalpasti keperluan dan kaedah pembinaan yang diamanahkan oleh Allah kepada Nabi Ibrahim ini agar struktur binaan kuat, bertahan lama dan diberkati hasil usahanya.


Selain daripada itu, melalui proses pembinaan Ka'abah ini juga, Nabi Ibrahim( "Ibrahim" itu bermaksud "Bapa Yang Penyayang" ) telah berusaha menerapkan konsep ataupun cara bagaimana menjalinkan hubungan kekeluargaan. Ini terbukti melalui interaksi dan hubungannya dengan Nabi Ibrahim ketika membina Ka'abah. Bagaimana menjalinkan hubungan kekeluargaan di antara bapa dan anak turut wujud di dalam proses ini. Ini juga merupakan satu lagi bidang ilmu yang boleh dikaji bagi membina dan memantapkan lagi institusi kekeluargaan.

Kebiasaannya, adalah agak sukar untuk mewujudkan hubungan yang baik antara ayah dan anak memandangkan hubungan seperti ini biasanya hanya lebih sinonim di antara ibu dan anak. Jadi,mereka yang bergelar ibu bapa bolehlah menjadikan pendekatan yang digunakan oleh Nabi Ibrahim di dalam proses pembinaan Ka'abah ini sebagai asas panduan di dalam membina ikatan kekeluargaan yang kukuh sebagimana kukuhnya struktur pembinaan Ka'abah.

Antara lain yang diterapkan oleh Nabi Ibrahim dalam membentuk institusi kekeluargaan yang kukuh hasil daripada proses pembinaan Ka'abah adalah:

(1) Melakukan tugas bersama-sama ketika pembinaan Ka'abah sambil berdoa bersama-sama dengan Nabi Ibrahim agar amalan mereka diterima oleh Allah. Di sini diterapkan unsur jemaah di dalam keluarga( ayat 127 ).

(2) Berdoa bersama-sama Nabi Ismail agar diri, keluarga dan keturunan sentiasa patuh dan berserah diri pada Allah, ditunjuki cara-cara beribadat haji serta memohon agar selalu bertaubat dan taubat diterima Allah( ayat 128 ). Walaupun tiada melakukan dosa, namun Allah memerintahkan agar Nabi Ibrahim sentiasa bertaubat sebagai tanda tawadu'.

(3) Nabi Ibrahim dan Nabi Ismail juga berdoa agar zuriat keturunan dari kalangan mereka yang membaca, mengajar isikandung Al-Quran serta hukum-hakam yang terdapat di dalamnya. Sesungguhnya bila membaca dan mengajar kitab Allah, Allah jamin rezeki. Juga mendoakan agar keturunannya menyucikan diri dan jauh dari syirik serta maksiat( ayat 129 ).

(4) Nabi Ibrahim berwasiat kepada anak-anaknya agar kekal di dalam Islam sehingga ke akhir hayat kerana hanya Islam agama yang dipilih oleh Allah( ayat 132 ). Ini juga sebagai panduan dalam menyampaikan wasiat dan apakah bentuk wasiat yang seringkali kita terlepas pandang? Wasiat bukan hanya tertumpu kepada yang berunsur material dan fizikal, tetapi yang lebih penting adalah spiritual( bagi menjamin aqidah ).

Itulah di antara nilai-nilai yang diterapkan oleh Nabi Ibrahim di dalam membentuk institusi kekeluargaan agar sentiasa berada dalam landasan yang dikehendaki oleh Allah sw.t.

Jadi, di antara pengajaran yang boleh diperolehi daripada sirah ini adalah bagaimana tingginya pergantungan Nabi Ibrahim kepada Allah di dalam usaha pembangunan iaitu di dalam membangunkan Ka'abah, bumi Mekah dan juga di dalam membangunkan institusi kekeluargaan agar sentiasa bergantung dengan Allah. Makbulnya doa Nabi Ibrahim terbukti melalui lahirnya zuriat yang begitu mulia iaitu Nabi Muhammad s.a.w yang memimpin umat akhir zaman dan juga melalui pembangunan kota Mekah yang terserlah keberkatannya sehingga ke hari ini.

Oleh itu...skala waktu bukanlah satu halangan di dalam berdoa..biarpun belum tentu nampak hasilnya dan mungkin memakan masa yang lama, namun...berusahalah dan berdoalah agar segala usaha kita sentiasa diberkati Allah, insyaAllah.

Wabillahi taufik wal hidayah...
Wassalam.

Nota: Maaf di atas sebarang kesilapan...minta dimaklumkan sekiranya perlu diperbaiki.