Wednesday, January 27, 2010

Penawar Bagi Hati



Sabda Rasulullah s.a.w:

Bahawa hati itu berkarat seperti karatnya besi, lalu orang bertanya, "Wahai Rasulullah, bagaimana membersihkannya?"

Rasulullah menjawab:

".......membaca Al-Quran dan mengingati mati."

Tuesday, January 12, 2010

Cinta Kini Kulafazkan

Seringkali bila menyebut istilah "cinta", tidak terlepas daripada kita untuk mengaitkan cinta sesama manusia, umpama itulah cinta yang memberi kebahagiaan dalam hidup. Fenomena ini merupakan suatu yang sudah menjadi kelaziman terutama bagi mereka yang hanya mencari kebahagiaan dalam kehidupan dunia semata-mata. "Cinta" yang lebih tersirat acap kali seperti dipinggirkan dan kurang diambil kisah.

Itulah di antara muqaddimah bagi penulisan saya pada kali ini untuk sama-sama kita hayati. Sejauh manakah kita mencari, menyuburkan dan mempertahankan "cinta" kita pada Allah, Tuhan Yang Maha Esa? PadaNya tempat bergantung segala sesuatu dan tidak ada sesuatupun yang setara denganNya. Apakah pengorbanan kita di dalam memelihara kesucianNya? Di manakah peranan kita dan apakah pendirian kita di dalam menegakkan cinta kita pada Allah, Tuhan Yang Esa, Tuhan semesta alam?

Apapun, perbincangan semasa sesi pengajian mingguan ISDEV pada petang ini begitu membuakkan semangat dan begitu membuka minda untuk diamati dengan mata hati sedalam-dalamnya. Perkara yang dibangkitkan oleh Prof. Syukri untuk dibincangkan memang kena pada masanya. Isu semasa yang sedang hangat diperkatakan, iaitu isu membenarkan penggunaan kalimah "Allah" bagi Kristian. Walaupun kali ini, terpaksa beralih tempat dari Dewan Persidangan CENPRIS ke Bilik Mesyuarat ISDEV yang agak terhad ruangnya, namun itu tidak menghalang warga ISDEV untuk sama-sama berkumpul seperti lazimnya. Ruang yang sempit dan masa yang agak terhad dimanfaatkan sepenuhnya untuk membincangkan satu isu yang amat perlu diberi perhatian oleh kita yang mengakui diri sebagai seorang Islam.

Bersediakah kita di dalam menjawab persoalan ini sekiranya ditanya? Adakah anda mahu membenarkan penggunaan Kalimah Allah ini oleh pihak lain selain Islam? Apakah hujahan kita di dalam mempertahankan pendirian kita sebagai tanda cinta kita pada Allah? Apakah begitu mudah bagi kita untuk membenarkan kalimah suci ini digunakan oleh pihak-pihak tertentu untuk tujuan ataupun matlamat yang kita sendiri kurang pasti? Jawapan itu sepatutnya sudah tersedia di dalam diri kita sebagai seorang yang telah bersaksi bahawa hanya Dia Yang Maha Esa. Tiada Tuhan yang lain, melainkan Dia.

Semasa sesi perbincangan tadi, beberapa orang warga ISDEV yang berlatarbelakangkan pengajian Islam telahpun memberikan pendapat masing-masing berkenaan isu tersebut. Setidak-tidaknya, sudah jelas apakah pemahaman yang perlu ada bagi diri kita di dalam menjawab persoalan-persoalan tadi. Mereka yang arif di dalam bab aqidah turut menjelaskan dan berpendapat bahawa tiada nas atau dalil yang membenarkan atau tidak penggunaan kalimah Allah oleh agama lain. Oleh itu, masing-masing bebas menyuarakan pendirian dan pendapat.

Jadi pada penulisan kali ini, saya ingin mengambil peluang yang ada untuk turut berkongi sedikit ilmu dan pendapat mengenai isu ini berdasarkan informasi yang diperolehi semasa kuliah-kuliah tafsir Al-Quran yang saya ikuti selain dari sekadar pendapat peribadii. Mungkin saya bukanlah seorang yang berilmu dalam bidang ini, namun diharap peluang ini dapat memberi ruang kepada saya untuk lebih berfikir dan terus menulis.

Isu yang dibincangkan ini bagi saya merupakan sesuatu isu yang begitu berkait rapat dengan soal mempertahankan aqidah. Bagaimanakah kita mempertahankan penggunaan kalimah Allah itu semata-mata untuk Islam dan cuba menyelamatkan aqidah umat Islam? Mungkin setiap diri mempunyai pendapat yang berbeza. Namun, kembali kita kepada Surah Al-Ikhlas dari sumber Al-Quran yang merupakan sumber rujukan utama kita. Walaupun surah ini merupakan antara surah yang pendek, namun di situlah letaknya sumber kekuatan bagi kita untuk digunakan sebagai salah satu hujah di dalam menilai, memelihara dan mempertahankan aqidah Islam serta kesucian kalimah Allah.

Sekiranya diteliti, ayat-ayat di dalam surah ini begitu jelas menyatakan bahawa Allah Yang Maha Esa, Allah tempat meminta segala sesuatu, (Allah) tidak beranak dan tidak pula diperanakkan, dan tidak ada sesuatu yang setara dengan Dia. Di sinilah letaknya perbezaan nyata di antara konsep ketuhanan Islam dan Kristian(bahkan dengan agama-agama lain). Yang membezakan Islam dan Kristian itu adalah pada konsep ketuhanan. Secara umumnya yang jelas dalam Islam berdasarkan surah ini, Allah tidak punya anak dan tidak pula diperanakkan. Sebaliknya di dalam Kristian menyifatkan Nabi Isa itu anak Tuhan. Sekiranya penggunaan kalimah ini dibenarkan bagi penggunaan Kristian di dalam konsep ketuhanan ini, ia seolah-olah membenarkan Allah disyirikkan. Ini sama sekali begitu bercanggah dengan Islam dan ayat Al-Quran yang menyatakan Allah tidak beranak, tiada sekutu bagiNya.

Jadi, mana mungkin begitu mudah untuk kita membenarkan penggunaan kalimah Allah digunakan dengan sewenang-wenangnya menggantikan "Tuhan" bagi tujuan agama lain? Adakah ini suatu agenda untuk memperlihatkan kepada orang Islam bahawa mereka juga punya Tuhan "Allah" sedangkan pada masa yang sama konsep ketuhanan mereka jauh berbeza dengan Islam? Adakah dengan pendekatan Islami pada agama lain akan berjaya mengubah pendirian seorang Islam? Apapun, ini hanya akan menerbitkan bibit-bibit kekeliruan dan akhirnya berkemungkinan akan memberi kesan yang besar kepada aqidah umat Islam. Nau'zubillah...

Selain itu, berdasarkan sumber kedua iaitu dari hadis Rasullullah s.a.w. mengenai perkara berkaitan sendi agama yang dirujuk daripada buku terbitan Dewan Pustaka Fajar tahun 2005, iaitu "Hadith 40(Terjemahan dan Syarahan)" yang terjemahannya:

Dari Abu 'Abdal-Rahman 'Abdullah Ibn 'Umar radiyallahu 'anhuma katanya:Aku dengar Rasulullah s.a.w. bersabda: Didirikan Islam atas lima(rukun): Syahadah(pengakuan) bahawa tiada Tuhan melainkan Allah dan bahawasanya Muhammad itu Rasulullah, dan mendirikan sembahyang, dan mengeluarkan zakat, dan mengerjakan haji di Baitullah, dan puasa di bulan Ramadhan. Diriwayatkan oleh Bukhari dan Muslim.

Islam itu didirikan atas lima perkara iaitu Rukun Islam yang perlu diimani oleh seseorang Islam sebagai pendirian terhadap agama suci ini. Syahadah merupakan rukun pertama yang merupakan persaksian atau pengakuan bahawa sesungguhnya tiada Tuhan yang disembah melainkan Allah dan Muhammad itu Rasullah s.a.w. Kalimah suci ini( syahadah ) merupakan satu penyaksian atau pengakuan tentang kefahaman ketuhanan dan kerasulan bagi membuktikan diri seseorang sebagai seorang Islam yang sama sekali tidak terdapat pada agama lain.

Selain itu, seperti yang saya fahami dari sesi perbincangan tadi, dalam kalimah syahadah itu, perkataan "Ilah(Tuhan)" dan "Allah" itu mempunyai pengertian dan taraf yang berbeza. "Ilah" itu merujuk kepada Tuhan ataupun Tuhan-tuhan bagi agama lain selain Islam( iaitu "Tuhan" yang dimaksudkan berdasarkan kepada konsep ketuhanan mereka). Manakala, perkataan "Allah" itu disebut di dalam kalimah syahadah bagi membuktikan pengakuan mengenai Tuhan yang sebenarnya iaitu Allah dan bukan Tuhan(Tuhan-tuhan) yang lain berdasarkan perkataan "melainkan". Pengakuan ini merupakan pengakuan Islam.

Kalimah syahadah itulah yang merupakan lafaz cinta kita pada Allah, Tuhan Yang Maha Esa, Tuhan yang tidak beranak dan tidak diperanakkan. Jadi, demi membuktikan kecintaan kita padaNya bukan sekadar pada lafaznya semata-mata, maka laksanakanlah tanggungjawab sebagai seorang Islam sepertimana yang dituntutNya. Setiap individu Islam, perlu lebih peka di dalam memikul tanggungjawab besar ini bagi mempamerkan dan mempertahankan kesucian Islam pada setiap perkara yang berhubungkait dengannya .

Justeru, setiap diri yang mengakui dirinya sebagai seorang Islam, perlu rasa lebih bertanggungjawab di dalam setiap perlakuannya demi memelihara kesucian Islam. Lafaz syahadah yang terkandung kalimah Allah di dalamnya adalah pengakuan ketuhanan hanya bagi Islam yang mengimani lima sendi kekuatan Islam iaitu Rukun Islam dan juga Rukun Iman.

Oleh itu, di dalam isu ini, saya berpendapat bahawa kita perlu lebih peka di dalam menegakkan Rukun Islam itu sendiri yang merupakan sendi kekuatan Islam di samping sentiasa memelihara imej Islam yang patut ada pada diri kita dalam setiap amalan kehidupan. Kesimpulannya, setiap individu Islam perlu memainkan peranan dalam mempertahankan kalimah tersebut serta penggunaannya bersesuaian dengan kedudukanNya Yang Maha Tinggi Lagi Maha Suci. Mudah-mudahan usaha kita diberkati Allah dan aqidah kita terpelihara.

Wallahu'aklam..
Wabillahi taufiq wal hidayah...

Nota:
1. Tajuk kali ini sebenarnya diambil dari tajuk rancangan "Halaqah" yang disiarkan di TV9 pada 12 Jan 2010.
2. Harap diperbetulkan sekiranya terdapat sebarang kesilapan.

Wednesday, January 6, 2010

Yakin, Sabar dan Syukur Kunci Kejayaan


Sesungguhnya di dalam Islam, apabila menyentuh bab aqidah, perkara yang paling penting dan diberi penekanan adalah keyakinan. Meyakini dengan sepenuhnya di dalam hati akan kewujudan Allah dan sifat-sifatNya tanpa ragu serta yakin sepenuhnya akan rukun iman yang enam. Itu sahaja tidak lengkap tanpa dibuktikan melalui perlaksanaan rukun Islam yang lima...tanda keyakinan kita kepada yang Maha Memiliki segala sesuatu. Ini semua adalah tonggak kepada pengukuhan keimanan bagi seseorang muslim di dalam mendapatkan keredhaan Allah dan seterusnya mencapai nikmat kejayaan yang hakiki.

Begitu juga di dalam kehidupan.....bagi mencapai kejayaan di dalam apa jua perkara, kuncinya adalah keyakinan.....ragu-ragu dan was-was adalah tipu daya syaitan semata-mata yang cuba melemahkan dan menjatuhkan anak Adam....Hadapilah segala dugaan dan ujian dengan penuh kesabaran. Terimalah segala ketentuanNya dan yakin bahawa itulah yang terbaik yang telah ditentukan.

Seandainya gagal, ingatlah pesanan Allah agar jangan mudah berputus asa di atas rahmatNya. Sujud dan mohonlah padaNya, sesungguhnya hanya padaNya tempat kita meminta dan memohon pertolongan....Namun, jika diberi kejayaan, sujudlah dan syukurlah akan segala nikmatNya...sesungguhnya bersyukur itu perkara yang paling sukar dilakukan berbanding bersabar......Maka bersyukurlah di dalam hati, bersyukur dengan lisan dan bersyukurlah dengan perbuatan...mudah-mudahan ditambahkan nikmat dan diberikan kejayaan. Sesungguhnya, mereka yang berjaya itu adalah mereka yang diberi hidayahNya. Dan ingatlah....andaikata kufur, azab Allah itu amat keras.....

Wabillahi taufiq wal hidayah..