Wednesday, July 14, 2010

Antara Wasiat Luqman Al-Hakim

Wahai anakku, sesungguhnya dunia ini ibarat lautan dalam, ramai manusia yang tenggelam di dalamnya. Jadikanlah taqwa sebagai kapalmu, iman sebagai penumpang dan tawakal sebagai layarnya. Semoga engkau memperolehi kejayaan.

**********

Wahai anakku, biasakanlah lidahmu menyebut "Ya Allah, ampunkanlah aku." Sesungguhnya bagi Allah terdapat waktu-waktu yang tidak ditolak permintaan (iaitu dikabulkan doa).

**********

Wahai anakku, di kala manusia berbangga dengan pertuturan mereka yang indah, maka bersenang hatilah engkau dengan keindahan diammu.

**********

Ingatilah dua perkara dan lupakanlah dua perkara: Ingatlah Allah dan mati. Lupakanlah kebaikan kamu kepada manusia dan kejahatan manusia terhadap kamu.

Sumber : "Wasiat Luqman Al-Hakim" tulisan Ahmad Hasan Mohd. Nazam (Telaga Biru)

Monday, April 12, 2010

Lidah Dengan Hati....

Bismillah...

Renungkanlah kaitannya:


"Iman seseorang hamba Allah tidak akan lurus sebelum hatinya lurus, dan hatinya tidak akan lurus sebelum lidahnya lurus."
(Hadis Riwayat Ahmad bin Hanbal)



Mudah-mudahan kita berusaha untuk memperbaiki diri dengan berusaha untuk membiasakan lidah kita mengucapkan ucapan yang baik-baik.

Thursday, March 25, 2010

Kebaikan Amalan Zikir

Doa dan zikir merupakan dua perkara yang berbeza. Doa merupakan permohonan atau permintaan yang baik kepada Tuhan. Kebiasaannya doa adalah dalam bentuk ayat-ayat Al-Quran, hadis ataupun susunan kata-kata yang syahdu.

Zikir pula ialah perbuatan mengingati Allah s.w.t dengan menyebut nama-Nya melalui perbuatan, lidah ataupun hati. Antara lain, kalimah-kalimah yang biasa disebut adalah subhanallah, alhamdulillah, astaghfirullah, Allahuakbar dan sebagainya.

Amalan berzikir merupakan kaedah yang telah diajar oleh Rasulullah s.a.w sebagai salah satu cara untuk mententeramkan jiwa selain dapat menjernihkan hati. Sepatutnya amalan ini dijadikan rutin harian setiap individu muslim sebagai tanda kecintaan kita kepada Allah Yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang. Allah juga amat menyukai mereka yang sentiasa membasahi lidah dengan zikrullah dan sebaik-baik ganjaran serta keampunan bagi mereka telah dijanjikan Allah dalam surah Al-Ahzab ayat 35.

Antara ganjaran kebaikan amalan berzikir:
(1) membentengkan diri dari bisikan syaitan
(2) dilimpahi keredhaan Allah
(3) diluaskan rezeki
(4) membangkitkan aura sahsiah peribadi murni
(5) menghidupkan dan menjernihkan hati
(6) hampir dengan Allah dan diangkat darjat
(7) mengelakkan diri dari sifat mazmumah
(8) berupaya membina fikiran yang positif dan dinamik
(9) bersedia hidup penuh berani dan diberi kekuatan
(10) menenggelamkan sifat munafiq


Itulah di antara ganjaran kebaikan berzikir. Oleh itu, biasakanlah lidah dan hati kita dengan berzikir dalam apa jua keadaan. Mudah-mudahan kehidupan kita dilimpahi hidayah Allah dan insyaAllah, sentiasa dalam keadaan yang tenang serta tenteram selalu.

Wabillahi taufik wal hidayah.

Nota:
Rujukan dari "Doa & Zikir Harian" keluaran Jun 2008 tulisan Ustz. Haji Zahazan Mohamed dan petikan dari ruangan agama Berita Harian bertarikh 22 Mac 2010, tulisan Wan Mohd Ruzlan Wan Omar.